Pereka gaun pengantin selebriti



Pereka gaun pengantin selebriti




Karya terbaru Hatta Dolmat iaitu gaun pengantin pelakon drama Memey yang dikatakan bernilai lebih RM15,000.



SEMASA di sekolah menengah, Hatta Dolmat tidak pernah terfikir hendak menjadi seorang pereka fesyen. Malah dia tidak tahu bidang apa yang akan dipilih kelak bagi meneruskan pengajian ke peringkat universiti.


Bagaimanapun ketika di tingkatan lima, dia amat meminati hiasan dalaman. Daripada minat dan bakat yang ditunjukkan, gurunya memberi keyakinan bahawa dia boleh menjadi seorang pereka hiasan dalaman yang berjaya.


Lantas semasa permohonan ke Unit Pusat Universiti (UPU), Hatta atau nama sebenarnya Muhammad Hatta Dolmat memohon bidang hiasan dalaman.


Namun bidang seni mempunyai banyak cabang dan sekali lagi Hatta bingung mana satu yang hendak dipilih. Akhirnya Hatta memilih seni reka fesyen tanpa mengetahui apa yang akan dipelajari semasa di universiti kelak.


Hatta berkata, sekitar tahun 2003 bidang fesyen di tanah air baru hendak bernafas dan tidak ramai memahami kerjaya yang sesuai dengan pelajar yang mengikuti fesyen.


''Bapa saya tidak ada halangan namun ibu saya berkata, buat apa belajar hingga ke universiti kerana lepas itu saya hanya akan menjadi tukang jahit sahaja.


''Saya tidak salahkan mereka kerana tidak faham dengan kerja-kerja fesyen. Bagi mereka, fesyen hanya menjahit baju apatah lagi saya seorang lelaki,'' kata Hatta semasa ditemui di butiknya, Hatta Dolmat Couture di Seksyen 7, Shah Alam, Selangor.


Menurut Hatta, dia meneruskan kursus fesyen yang diikutinya di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Seri Iskandar, Perak.
Keputusan cemerlang yang diperoleh pada peperiksaan akhir cukup untuk menggembirakan orang tuanya yang kemudian semakin memahami dan menerima bidang yang dipilih.


Hari ini, Hatta amat bersyukur dan berbangga kerana mampu membuka butik sendiri setanding dengan pereka-pereka fesyen tanah air lain.


Namanya juga menjadi sebutan dan menjadi pilihan para artis dan selebriti yang ingin menggayakan busana Hatta Dolmat Couture.

''Sebaik tamat pengajian, saya ceburi bidang fesyen yang menjurus kepada hiburan dan baju yang mula-mula saya reka adalah untuk Erra Fazira. Selepas itu saya buat pula baju untuk Jaclyn Victor dan Fasha Sandha yang dipakai pada satu majlis anugerah.


''Respon yang diterima amat baik dan baru saya tahu senario fesyen selebriti pada masa itu dan kehendak masyarakat,'' ujar anak keempat daripada enam beradik ini.
Nama Hatta terus berkembang dan menjadi pilihan ramai artis dan selebriti yang mahukan dia membuat rekaan baju pengantin untuk mereka.


Bermula dengan membuat baju nikah dan resepsi untuk perkahwinan Elyana, Hatta terus mendapat komen yang memberangsangkan daripada semua pihak.
Untuk baju nikah Elyana, kata Hatta, dia inginkan kelainan dan ingin lari daripada kebiasaan.
Biasanya untuk majlis nikah, orang inginkan putih namun Hatta memilih warna biru tiffany dan ramai yang menyukai warna tersebut.


Hatta turut menjadi pilihan Siti Sarah Raisuddin untuk menyediakan baju nikahnya dan warna pic dirasakan sesuai dengan penyanyi genit itu.
Selepas itu, seorang demi seorang artis inginkan sentuhan idea Hatta untuk majlis bahagia mereka.


Hatta merupakan pereka yang bertanggungjawab membuat baju pertunangan pelakon dan pengacara Shira Ayob, baju nikah dan persandingan isteri Tomok, baju nikah dan resepsi Faezah Elai dan terbaru ialah baju persandingan Memey.
Selepas ini, Hatta akan sibuk pula membuat baju kahwin untuk Yasmin Hani yang akan berkahwin bulan Oktober ini, Shera Ayob bulan November dan resepsi Faezah Elai pada Disember.


Bertanya kepada Hatta, selepas perkahwinan seseorang artis itu apakah yang akan dilakukannya kepada baju tersebut, katanya, biasanya baju tersebut akan dibeli oleh pelanggan dari Brunei dan Singapura yang tertarik dengan rekaan tersebut.


Menurut Hatta, classic cut menjadi signature kepada baju-baju rekaannya. Begitu juga dengan perincian seperti bunga-bunga timbul atau 3D, jahitan mutiara, batu-batu yang nampak pelik, kristal, bunga ros atau bunga sakura daripada kain renda.


Perincian perhiasan pada baju pun penting ujar Hatta, kerana jika sedikit perhiasan seperti batu atau mutiara, ia seolah baju tidak siap.
Tetapi jika terlalu banyak, tidak cantik, jadi jangan buat terlalu banyak atau terlalu sedikit.
''Untuk baju kahwin, saya banyak menonjolkan fabrik renda Perancis klasik. Saya sukakan fabrik ini kerana coraknya tidak terlalu berbunga-bunga dan banyak bercorak daun.

"Saya ingin menjadikan fabrik ini sebagai fabrik istimewa daripada Hatta Dolmat Couture dan bila melihat baju daripada fabrik ini orang tahu ia adalah baju Hatta Dolmat Couture.
''Selain fabrik tersebut, saya juga menggunakan fabrik netting, syifon dan duchess satin,'' ujar Hatta yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Kepujian Seni Reka Fesyen dari UiTM.
Jelasnya, untuk tempahan baju pengantin, harga yang dikenakan ialah RM5,000 ke atas termasuk untuk lelaki dan perempuan.


Sementara tempahan untuk baju persandingan ialah RM8,500 ke atas lengkap dengan layah dan kasut.
Selain menempah baju pengantin pelanggan juga boleh menyewa baju daripadanya.
Namun kata Hatta, dia ingin melatih pelanggan supaya jangan menyewa baju pengantin kerana apabila baju yang sudah dipakai oleh orang lain, ia sudah tidak menjadi eksklusif lagi. Tapi tidak mengapa jika menyewa baju yang baru siap.


Hatta menggalakkan pelanggan untuk menempah baju kahwin lebih awal, iaitu enam atau tujuh bulan sebelum majlis. Ini kerana dalam tempoh tersebut, kedua-dua pihak masih mempunyai masa untuk membuat sebarang pertukaran daripada segi saiz, fabrik, rekaan, warna dan sebagainya.


Pereka kecil molek ini mengakui menggemari ilham-ilham fesyen daripada pereka-pereka Lebanon seperti Ellie Saab dan Abaz Mahfuz.
''Rekaan-rekaan dari Asia Barat sedang naik sekarang dan sangat sesuai dengan masyarakat kita yang sukakan fabrik dan perincian yang gemerlapan,'' ujar Hatta.

Bagi meluaskan rangkaian rekaan fesyen pengantinnya ke peringkat antarabangsa sebagaimana yang dikecapi pereka fesyen tersohor Vera Wang, Hatta kini sedang mencari seorang pereka laman web yang dapat membantunya mencipta laman web yang menarik dan menepati kehendaknya.


Kemunculan laman ini mungkin akan menjadi kenyataan pada tahun hadapan.

8 comments:

  1. GOOD LUCK Hatta Dolmat~ kita sentiasa mengikuti perkembangan kamu~ di FB dan BLOG~...smpai inspirasi baju kawen ADEK saya on december nie pon ala2 baju tomok~ naseb u xde kat JB~ kalau x i tempah ngan u tau~ hehehehe.....ada sorang TAYLOR nie die pandai jahir baju2 mcm nie~ dan harga yg berpatutan dengan kami yg sederhana nie~ btw rekaan u mmg MALATOP setakat nie~ KEEP IT UP~....

    ReplyDelete
  2. I wish i could be like you someday ^_^

    ReplyDelete
  3. gud luck hatta dolmat.... bestnye kalau dpt buat baju kawin kat u...:)

    ReplyDelete
  4. sy bngga sbb hatta dolmat dari uitm seri iskandar perak.. sy juga student uitm seri iskandar perak

    ReplyDelete
  5. Sangat suka dengan rekaan baju hatta dolmat!!xsangka anak malaysia pun boleh reka baju yg cantik setanding dgn pereka luar yg famous!

    ReplyDelete